Sunday 12 June 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN 12/06/2011

Minggu lepas Pasukan Cosmos KL telah mencipta satu lagi kemenangan, perlawanan di antara Cosmos KL menentang KM3 berkesudahan dengan Cosmos KL menang 3 gol berbalas 1. Semangat untuk menang telah bermula sebaik wisel permulaan ditiupkan. Pemain di bahagian tengah pasukan mula merancang strategi dengan membuat hantaran pendek kepada pemain sayap kiri dan kanan pasukan. Cosmos KL berjaya mengawal perlawanan pada separuh masa yang pertama walaupun pada awal permainan pemain kelihatan sedikit gugup dan kelam kabut. Cosmos KL berjaya menjaringkan gol pada pertengahan separuh masa yang pertama dan tidak lama selepas itu pasukan KM3 berjaya menyamakan kedudukan. Separuh masa pertama berkesudahan dengan kedua-dua pasukan seri 1-1.

Separuh masa kedua bermula, Cosmos KL mula menyerang dengan membuat hantaran-hantaran pendek ke sisi padang dan sekali-sekala pasukan lawan juga menyerang balas, akhirnnya Cosmos KL berjaya menembusi pertahanan KM3 dan berjaya menghasilkan gol yang kedua. Pasukan KM3 mula menyerang balas dengan membuat hantaran-hantaran silang dari sebelah kanan padang tetapi pertahanan pasukan Cosmos KL berjaya menidakkan sebarang percubaan ke gawang gol pasukan. Pada minit-minit terakhir perlawanan separuh masa kedua, Cosmos KL menjarakkan jaringan apabila penyerang Cosmos KL berjaya menjaringkan gol yang ketiga.

Separuh masa yang ketiga menyaksikan kedua-dua pasukan melakukan kekasaran dan bentesan keras tetapi keadaan perlawanan masih terkawal. Tidak banyak serangan-serangan berbahaya dilakukan. Pengadil meniup wisel penamat selepas 30 minit pelawanan separuh masa ketiga. Dengan itu Cosmos KL menang dan berjaya mencipta kemenangan kedua berturut-turut di padang PKNS.

Penulis Laporan: Boy

Monday 6 June 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN 05/06/2011

Minggu ini The Cosmos hadir ke padang dengan semangat yang berkobar-kobar. Perlawanan persahabatan kali ini menentang pasukan dari Puchong. Nama pasukan lupa nak tanya kerana terlalu excited. Kehadiran pemain perlu diberi pujian kerana inilah pertama kali semua pemain tiba awal. Tahniah The Cosmos. Kehadiran sebegini diharap dapat diteruskan di perlawanan-perlawanan akan datang.




Perlawanan dimulakan pada jam 4.30 petang. The Cosmos kali ini bermain di padang PKNS Kelana Jaya. Wisel mula berbunyi dan The Cosmos memulakan permainan. Hantaran-hantaran pendek dibuat. Jentera tengah The Cosmos mengawal permainan dengan baik. Para pemain menunjukkan persefahaman yang baik. Beberapa serangan berbahaya dari sebelah kiri dan kanan padang betul-betul mencemaskan pihak lawan. Tidak lama di separuh masa pertama, The Cosmos hampir mendapat gol pertama daripada hasil gerakan cantik dari sebelah kanan padang namun percubaan yang dibuat hanya sedikit tersasar dari pintu gol. Percubaan demi percubaan namun nasib belum menyebelahi The Cosmos.

Serangan bertali arus dan akhirnya satu serangan dari sebelah kiri padang berjaya menghasilkan gol pertama untuk The Cosmos. Selepas menggelecek beberapa pemain lawan, pemain sayap The Cosmos telah melepaskan satu tendangan kencang dan seterusnya menewaskan penjaga gol lawan. Kedudukan sekarang 1-0. Pihak lawan yang masih tercari-cari rentak melancarkan serangan ke gol The Cosmos. Namun serangan-serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan The Cosmos yang kini serasi. Gol kedua The Cosmos muncul tidak lama selepas itu. Kini giliran pemain sayap kanan The Cosmos menyumbangkan gol. The Cosmos makin selesa. Kedudukan 2-0 betul-betul memberi keyakinan dalam perlawanan ini. Separuh masa pertama tamat.

Separuh masa kedua bermula. Kali ini pasukan lawan bermain dengan lebih agresif. Serangan demi serangan. Tidak lama selepas babak kedua dimulakan, pemain penyerang mereka berjaya melepasi perangkap Offside. Hanya tinggal penjaga gol untuk ditewaskan. Dan berjaya. Kedudukan 2-1. Permainan diteruskan. Pemain-pemain The Cosmos masih lagi tenang mengawal permainan. Boleh dikatakan permainan dikawal oleh The Cosmos. Serangan pantas dari kiri dan kanan padang merupakan kunci permainan The Cosmos. Corak permainan ringkas dengan hantaran satu dua di sebelah kanan dan larian pantas oleh pemain sayap The Cosmos, telah memberi satu lagi kelebihan gol kepada The Cosmos. Rembatan kencang dari hujung kotak penalti, telah menjadikan kedudukan sekarang 3-1.

Separuh masa kedua agak seimbang. Kedua-dua pasukan sama-sama menyerang. Permainan lebih rancak. Di hujung separuh masa kedua satu serangan kilat oleh pihak lawan dan ruang yang tidak dikawal telah memberi padah kepada The Cosmos. Gol mudah. Kini 3-2. Separuh masa kedua tamat. Pemain berehat. Pemain-pemain The Cosmos memberi semangat kepada sesama sendiri. Kami yakin yang kami mampu mencatatkan kemenangan yang pertama hari ini. Kami ingin menang.

Rehat berakhir dan kini masuk separuh masa ketiga. Pasukan lawan lebih cepat panas kali ini. Serangan pantas telah memerangkap barisan pertahanan The Cosmos. Penyerang pasukan lawan berseorangan membawa bola ke arah gol The Cosmos. Pemain pertahanan tengah The Cosmos mengejar rapat. Penjaga gol meluru keluar. Penyerang pasukan lawan berjaya menewaskan penjaga gol The Cosmos. Bola terus bergolek kearah gol. Namun bola tersebut sempat dikeluarkan oleh pemain pertahanan The Cosmos. Satu sepakan sudut di hadiahkan dari sebelah kiri gol. The Cosmos masih lagi dalam situasi yang tidak bersedia. Sepakan sudut diambil dan dihantar tinggi ke tengah kotak penalti. Satu tandukan tajam dan tandukan tersebut terus ke belah kanan gol. 3-3. The Cosmos tersentap dengan jaringan tersebut. Kali ini The Cosmos bermain dengan lebih agresif. Pihak lawan hanya bertahan. Serangan demi serangan. Dari kiri dan kanan. Hantaran dekat dan jauh bersilih ganti. Dan kali ini serangan dari sebelah kanan yang pantas dan lorongan bola rendah ke tengah pintu gol lawan. Penyerang The Cosmos berjaya meloloskan diri dari kawalan ketat pasukan lawan terus melepaskan satu rembatan deras ke pintu gol lawan. GOLLLLL....... Kini The Cosmos kembali  mendahului dengan 4-3. The Cosmos masih lagi belum berpuas hati dengan jaringan tersebut. Beberapa serangan bahaya terus dilancarkan.

Prittt.. pritt.. prittttttt...... Wisel penamat dibunyikan dan The Cosmos telah melakarkan kemenangan pertama. Tahniah sekali lagi kepada semua pemain kerana datang awal dan bermain dengan bersungguh-sungguh. Jumpa lagi minggu hadapan. Majulah sukan untuk Malaysia.

Sunday 22 May 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN 21/05/2011

Kali ini The Cosmos akan menentang pasukan RTM. Pasukan RTM yang sekarang sedang bersiap sedia untuk musim baru Liga KL, dibarisi oleh pemain-pemain muda. Perlawanan persahabatan seperti ini akan memberi lebih pendedahan kepada pasukan mereka.


Perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan lebat. Sepak mula tepat jam 5.30 petang. Kali ini The Cosmos turun dengan semangat yang berkobar-kobar. Hujan tidak menjadi penghalang. Perlawanan dimulakan dengan The Cosmos melancarkan satu percubaan jauh ke arah pintu gol RTM.
Walau bagaimanapun percubaan tersebut jauh tersasar. Perlawanan diteruskan. RTM mula mengatur rentak. Rentak apa tidak dapat dipastikan. Yang pasti perlawanan mula menjadi lebih rancak.

Kedua-dua pasukan sering berbalas serangan. Beberapa tolak menolak dan tackle yang tidak disengajakan mula berselang seli. Sikap pengadil yang suka memberi advantage pada kebanyakkan waktu mula dipertikaikan. Permainan mula bertukar dari persahabatan kepada permainan yang lebih agresif. Tackle-tackle keras bersilih ganti. Satu kemalangan kecil telah berlaku dimana dua pemain RTM yang cuba mencabar bola tinggi telah berlaga sesama sendiri mengakibatkan salah seorang daripada pemain tersebut keluar padang akibat kecederaan yang serius pada mukanya.

 

RTM yang lebih banyak menguasai permainan telah berjaya mendapatkan gol pertama hasil dari serangan pantas dari belah tepi padang. Hujan masih lebat namun perlawanan tetap diteruskan. Menjelang berakhirnya separuh masa pertama, sekali lagi serangan daripada tepi padang berjaya melepasi barisan pertahanan The Cosmos. Bola yang dibawa oleh pemain sayap RTM kelihatan telah keluar melepasi garisan gol. Namun penjaga garisan hanya berdiri diam dan satu hantaran rendah kedepan pintu gol The Cosmos. Dengan pantas penyerang RTM menyambar hantaran tersebut dan menolak mudah ke gawang gol untuk menjadikan kedudukan 2-0. Perlawanan berkesudahan dengan keputusan 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula. Hujan masih turun. Kali ini The Cosmos nampak lebih tenang dan mengawal permainan dengan baik. Hantaran-hantaran dibuat tepat dan permainan tersusun. RTM lebih banyak kehilangan bola. Barisan pertahanan The Cosmos sering kali berjaya mematahkan serangan-serangan RTM. Tackle-tackle keras berlaku. Permainan bertambah tegang.

The Cosmos menyerang. Jentera tengah The Cosmos mengawal. Thru pass yang baik kepada penyerang The Cosmos. Dengan tenang penyerang The Cosmos menggelecek penjaga gol RTM dan GOLLLLL!!!!!! Kedudukan 2-1. The Cosmos terus menguasai separuh masa kedua. Kali ini satu keadaan kucar kacir di depan pintu gol RTM. Penjaga gol RTM cuba menangkap bola yang gagal di keluarkan dari kawasan bahaya RTM. Namun penjaga gol RTM gagal menangkap kemas bola tersebut dan penyerang The Cosmos tidak mensia-siakan peluang yang terhidang dan kali ini kedudukan jaringan berubah menjadi 2-2.


Hujan makin reda namun kehangatan di dalam padang berterusan. Kedua-dua pasukan terus serang menyerang. Kali ini satu percubaan dari luar kotak penalti dilakukan oleh RTM. Penjaga gol The Cosmos gagal menangkap kemas. Bola muntah. Dan penyerang RTM terus menyambar dan menjaringkan gol ke tiga pasukan mereka. The Cosmos ketinggalan dengan 3-2. Selepas daripada gol tersebut, RTM tidak lagi menyerang kerana The Cosmos sahaja yang menyerang sehingga tamat permainan. Satu persembahan yang baik oleh The Cosmos.



Terima kasih kepada RTM yang sudi untuk bermain dalam perlawanan persahabatan ini dan diharap kita akan bermain lagi di masa akan datang. Kita carilah pengadil yang berpengalaman sikit. "Keselamatan pemain mestilah diutamakan. Kita main bukan dapat piala pun..". Secara peribadi saya berpendapat pengadil perlu lebih tegas dalam mengawal perlawanan terutama sekali ketika padang basah dan licin. Rajin-rajinlah tiup wisel. Tidak perlu beri banyak advantage. Sekian untuk laporan perlawanan persahabatan 21/05/2011.

Monday 16 May 2011

TEAM DAPAT JERSEY BARU DAN PERLAWANAN PERSAHABATAN 15/05/2011

Pasukan The Cosmos telah mendapat suntikan semangat yang baru dengan adanya jersi ala-ala Ivory Coast. Dengan baju hijau dan seluar oren, memang nampak segak dan mampu menggegarkan pasukan lawan dan pasukan sendiri. Pemilihan warna oren dalam set jersi kali ini adalah kerana ramai pemain yang jarak penglihatan yang agak terhad. Oleh itu, dijangka dengan penggunaan warna terang akan membantu pemain-pemain untuk membuat hantaran-hantaran yang lebih tepat.



Perlawanan pertama dengan menggunakan jersi baru adalah melawan pasukan Sunday Cowboys dari Petaling Jaya Selangor. Perlawanan telah berlangsung di Padang Sekolah Cochrane Perkasa, Kuala Lumpur. Terima Kasih kepada Mr. Nesa kerana telah mengaturkan perlawanan tersebut. Hujan lebat serta ribut petir sekitar kawasan Kuala Lumpur disamping kesesakan jalan raya telah mengakibatkan perlawanan tertangguh selama 15 minit. Ini kerana para pemain tidak dapat menghadirkan diri pada waktu yang sepatutnya. Walaubagaimanapun, di kawasan Cohcrane tiada hujan ataupun tanda-tanda hujan.


Perlawanan dimulakan dengan tanpa pemain yang cukup. Pasukan kita terpaksa meminjam dua orang pemain dari Sunday Cowboys bagi mencukupkan senarai pemain. Serangan bertali arus dari pasukan Sunday Cowboys yang beraksi di Liga Division 1 Selangor. Namun benteng pertahanan The Cosmos tetap teguh menangkis serangan-serangan yang dilancarkan. Hinggalah hingga ke minit 25, pasukan Sunday Cowboys berjaya mendapatkan satu tendangan percuma betul-betul di luar kotak penalti The Cosmos. Satu rembatan yang tidak berapa kencang kearah gawang gol menyebabkan penjaga gol yang dipinjam menggelabah seterusnya bola muntah ke kaki penyerang lawan. Satu tampanan mudah menyebabkan pasukan The Cosmos ketinggalan dengan 0-1. Perlawanan diteruskan tanpa ada serangan-serangan berbahaya dari kedua-dua pasukan sehingga wisel separuh masa ditiupkan.



Separuh masa kedua bermula. Kali ini kedua-dua pasukan berbalas serangan. The Cosmos mula bangkit. Namun ketika The Cosmos ghairah menyerang, pasukan Sunday Cowboy yang tertekan, telah berjaya mendapatkan satu tendangan penalti akibat kekasaran yang dilakukan oleh pemain pertahanan kiri The Cosmos. Tendangan penalti tersebut mudah di selesaikan oleh pemain Sunday Cowboys. The Cosmos kini ketinggalan 0-2. Perlawanan diteruskan, The Cosmos cuba bangkit, beberapa percubaan bahaya dilancarkan, namun kecekapan penjaga gol pihak lawan berjaya menangkis percubaan-percubaan tersebut. Ketika perlawanan hampir tamat untuk separuh masa kedua, pasukan Sunday Cowboys sekali lagi berjaya menjaringkan gol dan kedudukan sekarang 0-3.


Saparuh masa ketiga. The Cosmos yang masih lagi bersemangat telah melancarkan lebih banyak serangan-serangan berbahaya kearah pintu gol lawan. Permainan yang lebih tersusun dipamerkan oleh jentera tengah pasukan The Cosmos. Hasil dari gerakan satu dua telah berjaya memerangkap barisan pertahanan lawan. Selepas berjaya melepasi perangkap Off Side, penyerang The Cosmos, telah melepaskan satu rembatan kencang dan penjaga gol Sunday Cowboys tertewas. Jaringan tersebut telah meningkatkan keyakinan pasukan The Cosmos. Pasukan Sunday Cowboys mula hilang arah, dan satu sepakan penalti telah dihadiahkan kepada The Cosmos hasil dari terjahan oleh pemain pertahanan Sunday Cowboys ke atas pemain The Cosmos di dalam kotak penalti mereka. Satu sepakan penalti yang baik telah menewaskan penjaga gol Sunday Cowboys sekali lagi. Kedudukan sekarang 2-3.



Masa hampir tamat, namun The Cosmos masih belum menyerah kalah. Kali ini satu sepakan percuma pada jarak 25 meter diberikan di dalam waktu kecederaan. Rembatan ke arah Far Post di buat namun terkena palang dan bola melantun betul-betul di atas garisan gol. Penjaga gol sudah tertewas. Pemain The Cosmos dengan pantas menyambar bola dan kini bola telah pun berada di dalam gol pasukan Sunday Cowboys. Bola kembali kegarisan tengah untuk sepakan mula. Sejurus selepas sepakan mula dibuat, pengadil meniup wisel menandakan tamatnya perlawanan untuk petang tersebut.



Keputusan rasmi, The Cosmos seri dengan Sunday Cowbows 3-3. Tahniah kepada semua pemain. Diharap komitmen yang sama dapat dikekalkan di perlawanan-perlawanan yang akan datang. Sekian laporan perlawan persahabatan siri 15/05/2011.