Monday 6 June 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN 05/06/2011

Minggu ini The Cosmos hadir ke padang dengan semangat yang berkobar-kobar. Perlawanan persahabatan kali ini menentang pasukan dari Puchong. Nama pasukan lupa nak tanya kerana terlalu excited. Kehadiran pemain perlu diberi pujian kerana inilah pertama kali semua pemain tiba awal. Tahniah The Cosmos. Kehadiran sebegini diharap dapat diteruskan di perlawanan-perlawanan akan datang.




Perlawanan dimulakan pada jam 4.30 petang. The Cosmos kali ini bermain di padang PKNS Kelana Jaya. Wisel mula berbunyi dan The Cosmos memulakan permainan. Hantaran-hantaran pendek dibuat. Jentera tengah The Cosmos mengawal permainan dengan baik. Para pemain menunjukkan persefahaman yang baik. Beberapa serangan berbahaya dari sebelah kiri dan kanan padang betul-betul mencemaskan pihak lawan. Tidak lama di separuh masa pertama, The Cosmos hampir mendapat gol pertama daripada hasil gerakan cantik dari sebelah kanan padang namun percubaan yang dibuat hanya sedikit tersasar dari pintu gol. Percubaan demi percubaan namun nasib belum menyebelahi The Cosmos.

Serangan bertali arus dan akhirnya satu serangan dari sebelah kiri padang berjaya menghasilkan gol pertama untuk The Cosmos. Selepas menggelecek beberapa pemain lawan, pemain sayap The Cosmos telah melepaskan satu tendangan kencang dan seterusnya menewaskan penjaga gol lawan. Kedudukan sekarang 1-0. Pihak lawan yang masih tercari-cari rentak melancarkan serangan ke gol The Cosmos. Namun serangan-serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan The Cosmos yang kini serasi. Gol kedua The Cosmos muncul tidak lama selepas itu. Kini giliran pemain sayap kanan The Cosmos menyumbangkan gol. The Cosmos makin selesa. Kedudukan 2-0 betul-betul memberi keyakinan dalam perlawanan ini. Separuh masa pertama tamat.

Separuh masa kedua bermula. Kali ini pasukan lawan bermain dengan lebih agresif. Serangan demi serangan. Tidak lama selepas babak kedua dimulakan, pemain penyerang mereka berjaya melepasi perangkap Offside. Hanya tinggal penjaga gol untuk ditewaskan. Dan berjaya. Kedudukan 2-1. Permainan diteruskan. Pemain-pemain The Cosmos masih lagi tenang mengawal permainan. Boleh dikatakan permainan dikawal oleh The Cosmos. Serangan pantas dari kiri dan kanan padang merupakan kunci permainan The Cosmos. Corak permainan ringkas dengan hantaran satu dua di sebelah kanan dan larian pantas oleh pemain sayap The Cosmos, telah memberi satu lagi kelebihan gol kepada The Cosmos. Rembatan kencang dari hujung kotak penalti, telah menjadikan kedudukan sekarang 3-1.

Separuh masa kedua agak seimbang. Kedua-dua pasukan sama-sama menyerang. Permainan lebih rancak. Di hujung separuh masa kedua satu serangan kilat oleh pihak lawan dan ruang yang tidak dikawal telah memberi padah kepada The Cosmos. Gol mudah. Kini 3-2. Separuh masa kedua tamat. Pemain berehat. Pemain-pemain The Cosmos memberi semangat kepada sesama sendiri. Kami yakin yang kami mampu mencatatkan kemenangan yang pertama hari ini. Kami ingin menang.

Rehat berakhir dan kini masuk separuh masa ketiga. Pasukan lawan lebih cepat panas kali ini. Serangan pantas telah memerangkap barisan pertahanan The Cosmos. Penyerang pasukan lawan berseorangan membawa bola ke arah gol The Cosmos. Pemain pertahanan tengah The Cosmos mengejar rapat. Penjaga gol meluru keluar. Penyerang pasukan lawan berjaya menewaskan penjaga gol The Cosmos. Bola terus bergolek kearah gol. Namun bola tersebut sempat dikeluarkan oleh pemain pertahanan The Cosmos. Satu sepakan sudut di hadiahkan dari sebelah kiri gol. The Cosmos masih lagi dalam situasi yang tidak bersedia. Sepakan sudut diambil dan dihantar tinggi ke tengah kotak penalti. Satu tandukan tajam dan tandukan tersebut terus ke belah kanan gol. 3-3. The Cosmos tersentap dengan jaringan tersebut. Kali ini The Cosmos bermain dengan lebih agresif. Pihak lawan hanya bertahan. Serangan demi serangan. Dari kiri dan kanan. Hantaran dekat dan jauh bersilih ganti. Dan kali ini serangan dari sebelah kanan yang pantas dan lorongan bola rendah ke tengah pintu gol lawan. Penyerang The Cosmos berjaya meloloskan diri dari kawalan ketat pasukan lawan terus melepaskan satu rembatan deras ke pintu gol lawan. GOLLLLL....... Kini The Cosmos kembali  mendahului dengan 4-3. The Cosmos masih lagi belum berpuas hati dengan jaringan tersebut. Beberapa serangan bahaya terus dilancarkan.

Prittt.. pritt.. prittttttt...... Wisel penamat dibunyikan dan The Cosmos telah melakarkan kemenangan pertama. Tahniah sekali lagi kepada semua pemain kerana datang awal dan bermain dengan bersungguh-sungguh. Jumpa lagi minggu hadapan. Majulah sukan untuk Malaysia.

2 comments:

  1. Tahniah. dah ade blog skali.. ;)

    ReplyDelete
  2. caiyok! .. tapi nak tanya la .. ada yg bantu buat statistik ke? hebat? penulis turut beraksi dan masih berupaya menghasilkan laporan perlawanan ... syabas !!

    ReplyDelete